Pengenalan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Malaysia (AKKP 1994)
Keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan satu bidang yang bertujuan melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja. Keselamatan tempat kerja merupakan suatu aspek penting di dalam sesebuah organisasi syarikat. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu dengan memperkenalkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) pada 25 Februari 1994.
Antara faktor yang membawa kepada pengenalan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) adalah kerana terdapatnya banyak kelemahan di dalam Akta Kilang dan Jentera 1967 dan statistik kemalangan di tempat kerja yang tinggi. Sebagai contoh, insiden letupan kilang mercun di Sungai Buloh yang berlaku pada 1994 yang mengakibatkan berpuluh-puluh pekerja terperangkap dan terkorban di dalam insiden tersebut. Di bawah Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, ianya merupakan salah satu tanggungjawab majikan untuk mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan para pekerja ketika bekerja dan juga orang lain yang turut berada di kawasan tersebut.
Tujuan utama Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja, melindungi orang-orang di tempat kerja selain daripada orang-orang yang sedang bekerja, mengalakkan suatu persekitaran pekerjaan yang bersesuaian dengan fisiologi dan psikologi orang-orang yang sedang bekerja, mengadakan suatu sistem perundangan yang berasas kepada peraturan-peraturan dan tata amalan industri disamping peruntukan Akta. Secara ringkasnya, akta ini bertujuan untuk menjamin keselamatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga kepada orang lain yang berada di tempat kerja. Orang lain tersebut merujuk kepada tetamu atau sesiapa sahaja yang mempunyai urusan dengan organisasi berkenaan.
Manakala skop akta ini antara lain adalah merangkumi dan melindungi semua orang yang bekerja dalam semua aktiviti ekonomi termasuk perkhidmatan awam, badan berkanun dan sektor swasta kecuali mereka yang bekerja di atas kapal perdagangan, angkatan tentera. Sektor-sektor yang dirangkumi akta ini adalah sebagaimana peruntukkan dinyatakan dalam jadual pertama di bawah seksyen 1(2) iaitu pengilangan, perlombongan dan kuari, pembinaan, pertanian, perhutanan dan perikanan, kemudahan elektrik, gas, air dan perkhidmatan kebersihan, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi, perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran, kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun.
Akta ini bukan sahaja meletakkan tanggungjawab kepada majikan dan orang yang bekerja sendiri tetapi juga terhadap pekerjanya. Tanggungjawab pekerja antara lain adalah memberi perhatian munasabah terhadap keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain semasa menjalankan aktiviti-aktivitinya, memberi kerjasama samada kepada majikan atau orang lain dalam hal berkaitan dengan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, memakai peralatan perlindungan diri yang dibekalkan oleh majikan, dan mematuhi mana-mana arahan keselamatan dan kesihatan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dan peraturan-peraturannya. Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh mengakibatkan pekerja terbabit didenda RM 10000 atau penjara 3 bulan atau kedua-duanya sekali.
Penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) di peruntukkan di bawah Bahagian XI. Kuasa-kuasa diberi kepada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan untuk mengambil tindakan bagi melaksanakan tujuan akta termasuklah termasuklah kuasa untuk memasuki premis, memeriksa, meneliti, mengeledah, mengambil salinan, menyita dan menyiasat. Setelah kuasa-kuasa itu dilaksanakan, pegawai tersebut boleh mengambil langkah yang terakhir iaitu dengan mengemukakan notis kepada majikan.
Dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dunia pekerjaan dan perindustrian di Malaysia telah memasuki era baru dengan perhatian yang serius diberikan kepada keselamatan dan kesihatan para pekerja. Kewujudan akta ini yang diperkenalkan kerajaan hingga ke hari ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu menyediakan suasana kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja terhadap pekerja tetapi sesiapa sahaja yang berada di tempat kerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan